Followers

Saturday, June 19, 2010

Teknik Belajar


Membina Rancangan Belajar 2010

Sekali lagi, tahun baru menjelma di hadapan kita. Namun tahun baru kali ini amat istimewa untuk anda yang berada di tingkatan 5 kerana tahun ini adalah tahun yang boleh menentukan arah tuju anda selepas ini.


Bagi sesetengah pelajar, tahun ini adalah tahun yang paling mendebarkan. Bagi sesetengah pelajar lain pula tahun ini adalah tahu yang sangat menyeronokkan kerana mereka adalah antara pelajar paling ‘senior’ di sekolah dan tahun ini mungkin tahun terakhir mereka bergelar pelajar sekolah.


Bagaimana dengan anda? Biasanya awal tahun ialah satu masa yang sesuai untuk membuat rancangan. Satu pepatah hebat mengatakan ‘Kalau anda gagal merancang, anda sebenarnya sedang merancang untuk gagal’. Ada banyak kebenarannya dalam pepatah ini. Jadi apa kata kita buat sedikit rancangan untuk tahun 2010 ini. Ada beberapa langkah yang ingin saya kongsikan dalam membina rancangan belajar untuk tahun ini.


Langkah pertama
– Tuliskan keputusan yang anda ingin capai pada peperiksaan SPM sebenar nanti.


Langkah ini mungkin terlalu ringkas dan anda selalu dengar. Namun tahukah anda bahawa kebanyakan pelajar tidak betul-betul menetapkan hati mereka tentang keputusan yang mereka benar-benar inginkan? Sudah tentu anda boleh kata, “sudah pasti semua pelajar mahu mendapat semua A dalam peperiksaan SPM!” Percaya atau tidak, bukan itu realitinya.


Kebanyakan pelajar yang saya temui tidak pasti keputusan apa yang ingin mereka capai. Apabila saya kata anda sudah buat keputusan dan bertekad tentang apa yang ingin dicapai, ia bermaksud anda tidak lagi menoleh ke belakang dan akan sanggup buat apa sahaja untuk mencapai matlamat tersebut. Jika anda mahu mendapat gred A dalam subjek Matematik Tambahan, anda akan sanggup selesaikan semua soalan yang diberikan oleh guru walaupun anda guru anda berikan 40 soalan setiap hari.


Jadi, ambil sekeping kertas sekarang juga dan tuliskan keputusan yang anda ingin peroleh. Selepas anda tulis, buat keputusan dan pastikan anda sudah bertekad sanggup berusaha untuk mendapatkannya. Ini adalah langkah terpenting dalam membina rancangan belajar untuk tahun ini.


Langkah kedua
– buat analisis pencapaian sekarang dan pencapaian akan datang.

Jika anda tulis untuk dapat semua A dalam peperiksaan nanti, letakkan di hadapan anda keputusan peperiksaan anda pada akhir tahun lepas. Lihat gred apa yang anda peroleh untuk tahun lepas. Gred tahun lepas akan dapat memberi anda gambaran berapa banyak kerja yang perlu dilakukan dalam tahun ini.

Sebagai contoh, lihat subjek Sejarah. Akhir tahun nanti anda mahu dapat gred A tetapi gred apa yang anda perolehi tahun lepas? Jika tahun lepas anda perolehi gred A juga, Alhamdulillah, kerja anda tahun ini adalah untuk mengekalkan prestasi tersebut. Namun jika gred anda tahun lepas ialah E, anda pasti tahu yang banyak masa yang perlu diluangkan untuk subjek ini.Adakah gred E boleh bertukar menjadi gred A? Ya, SUDAH PASTI!


Saya sangat yakin bahawa E boleh bertukar menjadi A kerana saya telah lihat banyak contoh pelajar yang melakukannya. Apa yang penting, tabahkan hati dan kuatkan semangat bahawa anda ada kebolehan untuk mendapat gred A dalam subjek ini.


Langkah ketiga

– senaraikan aktiviti yang perlu ditambah dan yang perlu dikurangkan.

Jika keputusan peperiksaan lalu tidak memuaskan hati anda, ia langsung tidak bermaksud yang anda tidak pandai atau tidak cemerlang. Ia cuma bermaksud ada sesuatu yang anda lakukan tidak sesuai untuk mendapat keputusan cemerlang.


Fikirkan seketika, bagaimanakah cara anda belajar tahun lepas yang membuat anda dapat keputusan tersebut? Adakah anda malas buat kerja sekolah? Adakah anda suka berbual semasa guru mengajar? Adakah anda suka melepak dengan kawan-kawan yang malas belajar? Selalu saya dengar keluhan pelajar yang rajin belajar, rajin buat kerja sekolah, rajin pergi ke kelas tuisyen dan rajin pergi ke perpustakaan untuk mengulang kaji.


Keluhan mereka ialah mereka sudah belajar dengan tekun sekali, mengapakah ia masih tidak mencukupi? Mengapa mereka masih tidak cemerlang? Jawapan saya, jika apa yang dilakukan itu masih tidak mencukupi, ia bermaksud anda perlu UBAH SESUATU. Maksud saya bukanlah kalau dulu rajin belajar sekarang perlu ubah kepada malas belajar. Anda perlu ubah sesuatu terhadap cara anda lakukan sesuatu.

No comments:

Post a Comment